Pemandangan bandaraya Kuala_Lumpur

Gambar panorama yang ditangkap dari pelantar pemandangan Menara Kuala Lumpur.Pandangan panorama dari pusat bandar Kuala Lumpur, gambar diambil dari hotel di kawasan Changkat Bukit Bintang.

Seni bina

Rencana utama: Seni bina Kuala Lumpur
Menara Berkembar Petronas pada waktu senja.

Seni bina Kuala Lumpur merupakan paduan pangaruh kolonial lama, tradisi Asia, ilham Melayu Islam, seni bina moden dan pascamoden.[71] Sebagai sebuah bandar yang agak muda berbanding ibu kota lain di Asia Tenggara seperti Bangkok, Jakarta dan Manila, kebanyakan binaan kolonial di Kuala Lumpur dibina sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Binaan-binaan ini memperlihatkan gaya seni bina Moor, Tudor, Neo-Gothik atau Yunani-Sepanyol.[72] Kebanyakan penggayaannya adalah terubah suai agar memanfaatkan sumber tempatan dan sesuai dengan iklim tempatan yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Sebelum Perang Dunia Kedua, di sekitar pusat bandar lama terdapat banyak rumah kedai, kebanyakannya bertingkat dua iaitu kedai di tingkat bawah dan rumah di tingkat atas. Rumah-rumah kedai ini diilhamkan oleh tradisi Cina Peranakan dan Eropah.[53][54] Walaupun sebilangan daripadanya telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan terbaru, namun banyak lagi rumah kedai lama yang masih berdiri di sekitar kawasan Medan Pasar, Jalan Petaling, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Doraisamy, Bukit Bintang dan Tengkat Tong Shin.

Pencapaian kemerdekaan disusuli pembangunan ekonomi pesat dari 1970-an hingga 1990-an, di samping Islam sebagai agama rasmi di negara, telah menyaksikan pembinaan bangunan yang lebih berasa tempatan dan keislaman di sekitar ibu kota, khususnya seni bina yang diilhamkan oleh perkakas kebudayaan Melayu seperti songkok dan keris, di samping disepadukan motif geometri Islam yang melambangkan pembatasan terhadap peniruan alam melalui lukisan sejajar dengan nilai Islam.[73] Contoh-contoh bangunan berseni bina Islam sedemikian ialah Menara Telekom, Menara Maybank dan Kompleks Dayabumi.[74] Sebilangan bangunan pula dibina agar berupa tempat ibadah yang lengkap dengan kubah dan menara masjid, seperti Muzium Kesenian Islam dan Planetarium Negara, biarpun sebenarnya berfungsi sebagai tempat penghayatan sains dan ilmu alam. Menara Berkembar Petronas yang tingginya 452-meter (1,483 ka) direka bina untuk menyerupai motif-motif yang terdapat dalam kesenian Islam.[75]

Pada akhir 1990-an dan awal 2000-an, semakin menjadi-jadi seni bina akhir moden dan pascamoden. Berikutan pembangunan ekonomi, binaan-binaan lama seperti Rumah Bok terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada bangunan baru. Binaan-binaan berangka serba kaca tumbuh bagai cendawan di merata ibu kota, khususnya Menara Berkembar Petronas dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.[76]


https://ms.wikipedia.org/wiki/Kuala_Lumpur?veaction=edit&section=17#Sejarah

Taman

Taman KLCC seperti yang dilihat dari Traders Hotel.

Taman Tasik Perdana, sebidang taman berkeluasan 92 hektar (230 ekar) berhampiran bangunan Parlimen Malaysia, sebuah bekas tempat tinggal kepada seorang pegawai penjajah British, kini merangkumi sebuah Taman Rama-Rama, Taman Rusa, Kebun Orkid, Kebun Bunga Raya dan Taman Burung Kuala Lumpur, iaitu taman burung terbesar di Asia Tenggara.[77] Taman-taman lain dalam ibu kota termasuklah Taman ASEAN, Taman KLCC, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Metropolitan di Kepong, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia,[78] Taman Tasik Permaisuri, Taman Botani, Taman Ekuestrian dan Taman Lembah Barat Bukit Kiara (Rimba Kiara)berdekatan Taman Tun Dr. Ismail, Taman Antarabangsa Bukit Jalil, Tasik Permaisuri, Tasik Bukit Jalil, Tasik Manjalara, Tasik Metropolitan Batu, Datuk Keramat, Arboretum Bukit Kiara, Pudu Ulu dan Alam Damai.[79]

Terdapat tiga hutan simpanan dalam lingkungan ibu kota, iaitu Hutan Simpan Bukit Nanas di pusat bandaraya, iaitu hutan simpan yang paling lama diwartakan dalam negara pada keluasan 10.52 he atau 26.0 ekar*, Hutan Simpan Bukit Sungai Putih (7.41 he atau 18.3 ekar*) dan Hutan Simpan Bukit Sungai Besi (42.11 he atau 104.1 ekar*). Bukit Nanas di tengah-tengah pusat bandaraya ini merupakan salah sebuah hutan dara yang tertua dalam lingkungan bandar raya di dunia.[80] Hutan-hutan ini merupakan tempat tinggal untuk sebilangan spesies fauna termasuk monyet, tupai dan burung.

https://ms.wikipedia.org/wiki/Kuala_Lumpur?veaction=edit&section=17#Sejarah


Rujukan

WikiPedia: Kuala_Lumpur http://www.theage.com.au/news/take-five/top-five-w... http://army.gov.au/news/armynews/special_elements/... http://english.peopledaily.com.cn/200505/04/eng200... http://english.peopledaily.com.cn/200609/02/eng200... http://www.a1gp.com/(S(1i3rbrmttvedn03utuqdy155))/... http://www.adherents.com/adhloc/Wh_193.html http://www.answers.com/topic/democracy-novel-2 http://business.asiaone.com/Business/SME+Central/D... http://www.asiaweek.com/asiaweek/asiacities/kualal... http://malaysiahotelnews.blogspot.com/2006/10/thre...